Thursday, January 13, 2011

SIRI 2 SYARIAT ,THORIQAT ,HAKIKAT, MAKRIFAT.

SYARIAT ,THORIQAT ,HAKIKAT, MAKRIFAT.





Islam adalah iman , ilmu dan amal .
Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.
Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk
batiniah atau rohaniah.

Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama
ada ibadah lahir mahupun ibadah batin.
Setelah Tuhan dikenali,
dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah dan
mengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat
kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban
kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan
lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang
bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa
cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan
akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah
atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh
mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi
matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan
antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara
pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini
sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"

Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut
kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah
pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain.
Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin
kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak
salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya
terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun
banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak
akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita.
Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan
membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana
Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita.
Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu
tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila
hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan
dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat
dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan
hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini
tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa
bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi
penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala
ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk
menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi.
Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini
akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan
laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang
itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia
berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri
mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi
dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada
"progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia
bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan
hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

 Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu
bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib
beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal
haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu,
kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan
mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut
sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak
terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti
belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat
biji benih.

Tariqat .
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan
lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat
wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang
mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah
pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih
tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok
yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.
Hakikat
adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan
syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi
sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat
adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian
maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam
redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan
berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja
(sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang
berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat
dengan faham dan dihayati.

Makrifat .
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat
dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang
tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al
Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari
yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu
terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke
dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat
dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana
ia hanya melibatkan usaha lahir.

Sumber: Tareqat Syatariyyah

No comments:

Post a Comment